Biden warisi program vaksinasi yang teruk

BETHESDA: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyifatkan program vaksinasi koronavirus yang diwarisinya dari Donald Trump berada “dalam keadaan lebih teruk” daripada yang dijangkakan.

“Kami tidak dapat memperbaiki kesemuanya buat sementara waktu ini, tetapi kami tetap akan berusaha sedaya upaya,” kata Biden dalam komennya di Institut Kesihatan Nasional di Bethesda, Maryland.

Beliau menggesa orang ramai supaya bersabar ketika kerajaan sudah membeli lagi 200 juta dos vaksin.

Dengan permintaan bagi vaksin melepasi jumlah bekalan, rakyat Amerika menghadapi kesulitan untuk membuat janji temu bagi mendapatkan vaksin, menyebabkan Biden terpaksa berdepan dengan masalah yang meruncing, kurang sebulan selepas beliau mengambil alih tugas.

Biden berkata Trump, yang meluangkan masa dua bulan terakhir dengan percubaan untuk mengubah keputusan pilihan raya presiden pada 3 November yang beliau tewas di tangan Biden, tidak menempah jumlah vaksin yang mencukupi dan tidak melaksanakan tindakan secukupnya bagi memastikan para penduduk mendapatkan vaksin.

Menurut beliau lagi, program vaksinasi yang diwarisinya berada “dalam keadaan lebih teruk” daripada yang disangkakan dan pasukannya diperdayakan mengenai bekalan vaksin.

“Sedang para saintis menjalankan tugas mereka untuk mencipta vaksin dalam masa rekod, presiden Amerika Syarikat sebelum saya – izinkan saya berterus terang – tidak menjalankan tugasnya untuk menghadapi cabaran besar memberikan vaksin kepada jutaan penduduk,” kata  Biden.

Seorang wakil Trump bagaimanapun enggan mengulas komen Biden.

Trump sebelum ini meluahkan rasa bangganya terhadap usaha pantas untuk menghasilkan vaksin di bawah pentadbirannya.

Menurut Biden, pemerintah sudah menandatangani kontrak bagi 100 juta dos vaksin Moderna dan lagi 100 juta dos dari Pfizer.

“Kami menghargai keyakinan yang ditunjukkan oleh pemerintah Amerika Syarikat terhadap vaksin Covid-19 kami,” kata ketua pegawai eksekutif Moderna Stephane Bancel dalam satu kenyataan media.

Biden berkata angka korban koronavirus di Amerika Syarikat dijangka mencecah 500,000 pada bulan depan dan menggesa rakyat Amerika supaya memakai pelitup bagi mencegah penularannya.

“Kami sudah membeli vaksin yang secukupnya untuk memberi vaksin kepada semua rakyat Amerika,” kata Biden.

Beliau berkata Amerika Syarikat yang mempunyai seramai 330 juta penduduk, masih menepati sasaran untuk mendapatkan 330 juta dos sebelum hujung Julai.

Related posts

Leave a Comment