Kelonggaran industri kreatif, sukan

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Kerajaan bersetuju membenarkan sektor industri kreatif kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, bermula esok, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakub.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira rayuan yang dibuat oleh pemain industri kreatif.

Beliau berkata, senarai yang dibenarkan beroperasi adalah produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital dan rakaman lagu di studio.

“Turut dibenarkan adalah pra-produksi penggambaran serta penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitkom, siaran langsung, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton,” katanya.

Sebelum beberapa pemain industri kreatif merayu agar kerajaan membenarkan mereka kembali beroperasi ekoran dari hilang punca pendapatan apabila banyak kegiatan tidak dibenarkan.

Kerajaan juga membenarkan pelaksanaan program latihan berpusat bagi pasukan dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula Isnin depan.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan kebenaran ini, tempat latihan dan pergerakan atlet serta pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan.

“Penginapan atlet dan pemain juga perlu mengikut prosedur operasi standard ‘kuarantin di kem’ dan ‘kuarantin di rumah’ yang telah ditetapkan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga sedang membuat penelitian akhir berhubung cadangan pembukaan beberapa aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan taraf kesihatan diri.

Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan akan mengumumkan perkara yang dipohon oleh KBS itu dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment