Solat Jumaat ikut kapasiti masjid

KUALA TERENGGANU 8 Feb. – Solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di semua masjid dan surau di Terengganu boleh dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa hingga 18 Februari depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu Osman Muda berkata kebenaran itu diberikan setelah diperkenankan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan mendapat pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Beliau berkata jumlah jemaah mestilah mengikut kapasiti keluasan masjid dan surau dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu tidak memasang penyaman udara sepanjang solat berlangsung, membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.

“Selain itu, jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas dan ruang wuduk sebanyak tiga kali seminggu.

“Jawatankuasa masjid dan surau juga bertanggungjawab sepenuhnya dalam mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sekiranya gagal, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, aktiviti kuliah harian masih tidak dibenarkan termasuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang lain.

(Foto Masjid Wakaf Tembusu Kuala Nerus)

Related posts

Leave a Comment