PKPD taman di Muadzam Shah

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Taman-taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 9 hingga 22 Februari, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yakob.

Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri memaklumkan keputusan itu dibuat setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes Covid-19 di Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang yang melibatkan komuniti di taman-taman.

Katanya sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 13 kes positif telah direkodkan dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid AlMuadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman-taman ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di taman-taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin seperti yang dinyatakan bermula 9 sehingga 22 Februari 2021.

“Walau bagaimanapun, PKPD ini tidak akan melibatkan Bandar Satelit. PKPD ini akan melibatkan seramai 9,805 penduduk dan 2,178 buah rumah di taman-taman ini,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal melalui saringan secara bersasar ke atas penduduk di lokaliti ini dan untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti di kawasan tersebut.

Related posts

Leave a Comment