Ingkar PKP berpesta dadah

BUTTERWORTH 8 Feb. – Bukan setakat ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi sekumpulan 16 individu termasuk pelajar turut mengadakan pesta dadah serta sambutan hari lahir.

Mereka direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu di sebuah pangsapuri di Park View, Jalan Assumption, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka ditahan dalam satu serbuan selepas pihak berkuasa menerima aduan bunyi bising yang melampau daripada jiran.

Menurut Noorzainy, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 22 tahun, terdiri daripada tujuh wanita dan tiga individu bawah umur 17 tahun, sedang leka menari dan berpesta di rumah yang dijadikan rumah inap (Homestay) itu.

Hasil siasatan mendapati, kumpulan remaja berkenaan menyewa rumah inap di situ dengan harga RM180 semalam bagi tujuan menyambut hari jadi salah seorang rakan mereka.

Ketika pemeriksaan dilakukan, tiada penjarakan fizikal dilakukan dan mereka mengaku berkumpul kerana mahu menyambut hari jadi salah seorang rakan mereka.

Ujian saringan air kencing mendapati 15 daripada mereka positif dadah jenis ketamine, methamphetamine dan AMP.

Kes disiasat dibawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kesalahan ingkar PKP, mereka berdepan kompaun RM1,000 setiap seorang atas kesalahan melanggar Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Related posts

Leave a Comment