7.5 juta lakukan umrah

RIYADH: Walaupun dikenakan peraturan ketat, kira-kira  7.5 juta jemaah telah melakukan ibadah umrah dan solat di Masjidilharam di Makkah, sejak empat bulan yang lalu.

Menurut Presiden Ketua Umum Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais, 1.9 juta orang menjalani ibadah umrah dan 5.5 juta orang solat di masjid antara 4 Oktober hingga 30 Januari apabila ia dibuka semula selepas digantung akibat pandemik Covid-19.

Menurut Arab News, Osama Al-Hujaili, pengarah di Jabatan tersebut, berkata pihak berkuasa berusaha keras bagi memastikan para jemaah dapat beribadah dalam persekitaran yang selamat dan sihat.

Beliau menambah apabila para jemaah kembali melakukan ibadah umrah secara berperingkat, langkah-langkah jarak selamat sudah disediakan.

Apabila fasa ketiga bermula pada 1 Nov, Al-Hujaili berkata laluan-laluan tambahan akan disediakan dekat dengan Kaaba bagi warga emas dan orang kurang upaya.

Laluan pertama sepanjang 155 meter, boleh menampung 45 kerusi roda dan mengambil masa antara 10 dan 15 minit untuk bertawaf.

Laluan kedua pula yang terletak paling dekat dengan Kaabah, sepanjang 145 meter, boleh menampung 50 warga emas yang tidak memerlukan kerusi roda. 

Related posts

Leave a Comment