Covid-19: Bayi antara 17 kematian

PUTRAJAYA 4 Feb. – Bayi  berusia empat bulan merupakan antara 17 kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di negara ini hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memberitahu, bayi warga tempatan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah dan dilaporkan mempunyai latar belakang penyakit iaitu masalah jantung.

Sebelum ini, seorang bayi perempuan warga tempatan berusia setahun disahkan meninggal dunia pada 6 Oktober lalu di Hospital Semporna, Sabah.

Mengenai kes jangkitan hari ini, beliau memberitahu, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan 4,571 lagi kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Kesemua pertambahan kes itu melibatkan 4,568 daripada kes tempatan dan tiga kes import sekali gus menjadikan angka keseluruhan positif di Malaysia kini 231,483.

Sebanyak 237 kes (5.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Taiping (79 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (65 kes), Kluster Tembok Renggam (44 kes), Kluster Tembok Mempaga (38 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (3 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (3 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (2 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), Kluster Matambai (1 kes), dan Kluster Penjara Kepayan (1 kes).

Bagi jumlah kes aktif, ia kini meningkat kepada 48,771 dengan seramai 308 pesakit yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 135 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kematian pula, yang kini merekodkan lebih 800 kes turut meningkat kepada 826 selepas 17 lagi kes korban disahkan pada Khamis.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat (4) kes di Selangor, masing-masing tiga (3) kes di Sabah dan Sarawak, dua (2) kes di Johor dan Pahang, dan satu (1) kes di Kelantan, Melaka, dan Negeri Sembilan. Sebanyak 15 kes kematian melibatkan warganegara dan dua (2) kes bukan warganegara.

Malaysia bagaimanapun, melaporkan kes sembuh bahru dengan jumlah empat angka iaitu 4,092 lagi disahkan pulih menjadikan angka kes sembuh kini 181,886.

Related posts

Leave a Comment