Rampasan kuasa tak dapat dielak

YANGON: Rampasan kuasa tentera ke atas pemerintah Aung San Su Kyi di Myanmar pada Isnin lalu “tidak dapat dielakkan”, kata Panglima Angkatan Tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing semalam.

Dalam komen yang pertamanya kepada umum sejak rampasan kuasa itu, beliau berkata ia dilakukan “sejajar dengan undang-undang” setelah pemerintah gagal memberi respons kepada keprihatinannya berhubung penipuan dalam pilihan raya.

“Selepas banyak permintaan, cara ini tidak dapat dielakkan untuk negara dan sebab itu kami pilih untuk melakukannya,” kata beliau semasa mesyuarat Kabinet pertama, menurut ucapan yang dimuat naik ke laman Facebook tentera.

Tentera Myanmar mengejutkan seluruh negara itu pada 1 Februari  apabila ia menahan Aung San Suu Kyi dan para pemimpin parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) dalam satu serbuan awal pagi menjelang sesi parlimen yang sepatutnya disambung hari itu.

Jeneral Min Aung Hlaing diberi “kuasa perundangan, kehakiman dan eksekutif”, sekali gus mengembalikan Myanmar ke bawah pentadbiran tentera setelah 10 tahun negara itu cuba melakukan peralihan ke sistem demokrasi.

Di ibu kota Naypyidaw, pasukan-pasukan tentera bersenjata ditempatkan di luar dormitori-dormitori bagi ahli parlimen.

Seorang penggubal undang-undang NLD menyifatkannya sebagai “pusat tahanan terbuka”, meskipun menurut beberapa ahli politik, mereka bebas untuk keluar pada waktu malam.

Satu kenyataan di laman Facebook NLD menggesa agar Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan semua anggota parti yang ditahan, dibebaskan.

Ia juga menuntut agar tentera “mengiktiraf keputusan pilihan raya 2020 yang sudah disahkan”.

Menjelang waktu petang, seorang pegawai parti mengatakan tiada hubungan langsung dibuat dengan Aung San Suu Kyi, meskipun seorang jirannya melihatnya di kediamannya di Naypidaw.

“Kadangkala beliau berjalan di pekarangan rumahnya untuk memberitahu orang lain bahawa beliau dalam keadaan kesihatan yang baik,” kata pegawai media NLD, Kyi Toe.

Related posts

Leave a Comment