Isa kena jel 6 tahun, denda RM15.45 juta

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap sembilan pertuduhan ke atas Mohd Isa Abdul Samad, dan hukuman berjalan serentak.

Hakim turut mengenakan denda RM15,450,000.00 bagi kesemua sembilan pertuduhan dan tambahan dua tahun penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan itu.

Bekas Pengerusi Felda itu didapati bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan menerima RM3 juta yang didakwa dilakukan tujuh tahun lepas.

Mohd Isa dituduh menerima wang berkenaan berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Beliau didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Mengikut butir perbicaraan, perbuatan tersebut sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Related posts

Leave a Comment