Tiga hari melepasi 5,000 kes

PUTRAJAYA 31 Jan. – Tiga hari berturut-turut, Malaysia merekodkan lebih 5,000 kes harian yang bermula dengan 5,725 pada 29 Januari diikuti  5,728 pada 30 Januari dan hari ini turun sedikit kepada 5,298 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kini 214,959, sementara bilangan kes aktif sebanyak 48,150.

Berdasarkan jumlah kes baharu hari ini, 5,295 kes merupakan penularan tempatan manakala tiga kes import membabitkan dua warganegara dan seorang warga asing.

Sebanyak 94 kes (1.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (38 kes), Kluster DTI Sepang 2 (18 kes), Kluster Tembok Renggam (16 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Tembok Mempaga (7 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), Kluster Penjara Sungai Jelok (2 kes), dan Kluster Tembok Kemus (1 kes).

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 12 kes di Selangor, serta masing-masing satu kes di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Semua kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara.

Sebanyak 313 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 127 memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh pula mencatatkan 4,522 kes, angka tertinggi setakat ini selepas

kes sembuh tertinggi sebelum ini  4,427 pada 24 Januari lepas. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 166,049.

Sementara itu, pertambahan mendadak kes harian selepas 4,094 kes pada 28 Januari lalu adalah disebabkan oleh pelaporan lewat kes-kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) KKM termasuk kes-kes yang dikesan positif pada tahun 2020.

Peningkatan mendadak ini adalah disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat, dan saringan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa buah negeri.

Namun begitu, kes-kes yang lewat dilaporkan ini telah diambil tindakan sewajarnya di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan  seperti pengasingan dan rawatan ke atas kes-kes positif, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif.

Terdapat juga kelewatan pelaporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) oleh fasiliti swasta berdaftar misalnya klinik-klinik dan hospital-hospital swasta.

Related posts

Leave a Comment