251,101 pekerja asing disaring

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Sebanyak 4,735 orang daripada 251,101 pekerja asing yang disaring Covid-19 disahkan positif manakala 246,366 negatif, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, semalam 8,601 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dengan 133 disahkan positif. Saringan setakat ini melibatkan 10,500 majikan.

Beliau juga memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 426 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (93), tidak memakai pelitup muka (88), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (81), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (40).

Premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (24), makan dan minum di premis tanpa kebenaran (20), mengadakan majlis tanpa kebenaran (6) dan lain-lain (74).

Op Benteng yang dijalankan juga berjaya menahan 23 orang pendatang tanpa izin (PATI) serta merampas lima buah kenderaan darat dan dua buah bot.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa turut mengesan 164 bot dan kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan.

Related posts

Leave a Comment