Singapura 6 hari tanpa kes tempatan

SINGAPURA 28 Jan. – Buat hari keenam berturut-turut tiada kes baharu Covid-19 dalam kalangan masyarakat Singapura sebaliknya merekodkan 34 kes import setakat pukul 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 59,425 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan kesemua kes import itu sudah diberikan notis jangan keluar rumah atau diasingkan sebaik mereka tiba di sini.

Tiga lelaki rakyat Malaysia adalah antara 32 kes import asimptomatik yang disahkan  dan mereka merupakan pemegang permit kerja yang tiba di Singapura dari negara asal. Dua lagi kes bergejala.

Seorang wanita pemastautin Singapura berumur 29 tahun yang baru kembali dari Malaysia adalah antara kes import asimptomatik.

Singapura turut melaporkan dua kes import dari Bangladesh dan India yang keputusan ujian awal menunjukkan positif bagi strain B117.

Lain-lain kes import adalah dari Indonesia, Oman, Sri Lanka, Pakistan, Romania, Emiriyah Arab Bersatu, dan Amerika Syarikat.

Jumlah kluster yang dikesan kekal enam, selepas tiada kluster baharu dikesan.

Sehingga kini 29 orang meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan jangkitan Covid-19 di Singapura.

Related posts

Leave a Comment