Bayi 10 bulan kes import di Brunei

EMPAT lagi kes import Covid-19 termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan direkodkan di Brunei Darussalam hari ini, 28 Januari 2021 menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 180.

Kes 177 (bayi) itu tiba dari India pada 15 Januari lalu dengan Penerbangan Diraja Brunei  BI4112 manakala kes 178, wanita berusia 26 tahun yang juga ibu saudara bayi berkenaan yang tiba dengan penerbangan yang sama.

Menteri Kesihatan Dr. Awang Md. Isham Jaafar berkata, kes 179 pula melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang tiba dari Indonesia melalui Singapura pada 15 Januari dengan  penerbangan Singapura SQ 148.

Kes 180 melibatkan seorang wanita berusia 29 tahun yang tiba pada 25 Januari dari Dubai melalui Singapura dengan menaiki penerbangan SQ148;

Kesemua mereka sedang menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan sementara pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan.

Beliau berkata, dengan pengesanan kes baharu ini, sebanyak 39 kes import disahkan sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020, di mana negara ini mencatatkan 267 hari tanpa kes jangkitan tempatan.

Dengan pengesanan kes baharu ini, terdapat tujuh kes aktif, sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan semua dalam keadaan baik sementara satu kes sembuh dilaporkan menjadikan 170 kes sembuh.

Setakat ini , seramai 599 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan, iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.

Seramai 12,008  orang menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment