Vietnam akhiri dua bulan sifar kes

VIETNAM yang disenaraikan salah sebuah negara terbaik mengurus pandemik Covid-19 diingatkan supaya bersiap sedia mendepani 30,000 kes baharu.

Hari ini selepas dua bulan sifar kes penularan Covid-19 dalam komuniti, sebanyak 83 kes positif tempatan dikesan di wilayah Hai Duong dan Quang Ninh, utara Vietnam.

Ketua Jawatankuasa Covid-19, Vu Duc Dam yang juga Timbalan Perdana Menteri mengumumkan perkara itu seperti dilaporkan media tempatan.

Daripada 83 kes positif itu, 72 merupakan kakitangan di syarikat Vietnam Poyun Electronics Co. Ltd. di Hai Duong manakala baki kes dipercayai dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Van Don di Quang Ninh.

Kes-kes positif tersebut merupakan kontak rapat kepada kes indeks ke-1,552 dan ke-1,553 yang disahkan positif pada pagi Khamis.

Salah satu kes indeks itu terdedah kepada seorang individu yang diuji positif di Jepun dan mempunyai varian B117 Covid-19 yang pertama dikesan di United Kingdom.

Pada Julai lalu, sebuah kluster tercetus di bandar Danang yang tersebar ke beberapa wilayah lain sehingga menyebabkan kes kematian pertama negara itu.

Sebelum ini, Vietnam berjaya mengekalkan jumlah kes positif keseluruhan bawah 1,600 dengan angka kematian sebanyak 35.

Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc menerusi satu mesyuarat tergempar pada Khamis menggesa supaya pihak berkuasa Hai Duong dan Quang Ninh mengambil tindakan segera bagi mengekang penularan baharu itu.

Related posts

Leave a Comment