Had jemaah demi keselamatan

SHAH ALAM 28 Jan. – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di Selangor yang belum boleh berjemaah Solat Fardhu dan Solat Jumaat di masjid-masjid semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baginda turut membaca sendiri rayuan yang disalurkan menerusi Sahibus Samahah Dato’ Mufti Selangor dan juga permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, baginda menegaskan bahawa keputusan untuk mengehadkan bilangan jemaah di masjid-masjid adalah demi menjaga keselamatan umat Islam lebih-lebih lagi statistik terbaharu di Negeri Selangor membabitkan kes-kes jangkitan wabak Covid-19 masih lagi meningkat dengan jumlah kematian yang tinggi.

Ketika ini, jumlah kes positif di Negeri Selangor telah mencecah 5 digit dan 3 digit bagi angka kematian.

Dalam satu kenyataan, baginda kesal kerana ada segelintir pihak yang tidak berfikir panjang dan hanya mementingkan diri dengan sanggup memudaratkan jemaah lain sekiranya masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.

Baginda tidak mahu lebih ramai lagi rakyat Negeri Selangor mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) sehingga boleh menyebabkan kematian.

Selepas ini, baginda berharap tidak ada lagi pihak yang bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan yang telah diambil sebulat suara oleh pihak berwajib ini, demi keselamatan umat Islam di Negeri Selangor.

Tegas baginda lagi, tidak bererti jika masjid dan surau ditutup maka amal ibadah juga akan terhenti.

Related posts

Leave a Comment