Melaka benarkan sehingga 500 jemaah

AYER KEROH 27 Jan. – Kerajaan negeri Melaka membenarkan pelaksanaan solat dan fardu lima waktu berjalan seperti biasa dengan kehadiran sehingga 500 jemaah bermula esok, Khamis.

Ketua Menteri,  Sulaiman Md Ali berkata, aktiviti kuliah Maghrib dan bacaan Yassin pada setiap hari Khamis malam Jumaat juga dibenarkan sebagai langkah mengimarahkan masjid-masjid di negeri ini.

Jumlah jemaah untuk aktiviti yang dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti bangunan masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter dan solat di luar bangunan masjid dan surau adalah dilarang.

“Bagi masjid kerajaan, maksimum jemaah dibenarkan seramai 500, masjid kariah dan institusi maksimum 250 orang dan surau sehingga 75 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kuliah Maghrib dan bacaan Yaasin serta Tahlil pada hari Khamis malam Jumaat tidak boleh melibatkan kehadiran penceramah dari luar Melaka.

“Jawatankuasa masjid dan surau mesti memastikan jemaah mematuhi prosesur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” tambahnya.

Sulaiman berkata, upacara akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut SOP ditetapkan, namun lokasi majlis yang ditetapkan hanyalah di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi kariah yang berada dalam zon jingga dan merah.

Sementara akad nikah di masjid kariah pula, kebenaran diberikan kepada mereka yang berada dalam zon kuning dan hijau atau mana-mana lokasi yang dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Foto Masjid Pokok Asam

Related posts

Leave a Comment