Peranan wanita era Presiden Joe Biden

WASHINGTON 26 Jan. – Senat Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengesahkan Janet Yellen  sebagai wanita pertama dalam sejarah negara dilantik sebagai Setiausaha Perbendaharaan dan anggota Kabinet terbaru.

Yellen yang mendapat sokongan majoriti 84-15 itu berikrar untuk menumpukan kepada usaha menghidupkan semula ekonomi Amerika yang dilanda pandemik,

“Fokus sekarang adalah menyediakan bantuan dan menolong keluarga mengekalkan kediaman dan makanan di atas meja mereka dan tidak menaikkan cukai,” kata Yellen minggu lalu semasa sidang Senat. 

“Saya fikir kita harus melalui detik gelap ini sebelum program vaksinasi membolehkan kita kembali jalani kehidupan seperti sebelum ini,” tambahnya.

Sebelum ini, Senat telah meluluskan Avril Haines sebagai Pengarah Perisikan Negara dan Lloyd Austin sebagai Setiausaha Pertahanan.

Yellen, 74, juga wanita pertama mempengerusikan Rizab Persekutuan dan Majlis Penasihat Ekonomi Rumah Putih.

Sementara itu, AS bakal mencatat sejarah apabila seorang wanita berketurunan Amerika-Pakistan akan dilantik menjadi wanita Muslim pertama menjawat jawatan sebagai Peguam Negara.

Menurut laporan akhbar terbesar di Michigan, The Detroit Free Press, Saima Mohsin, 52, menggantikan Matthew Schneider di daerah Detroit, Michigan, dan bakal memulakan tugasnya pada 2 Februari hadapan.

Mengikut Perlembagaan AS, Peguam Negara juga merupakan ketua penguatkuasaan undang-undang Persekutuan di kawasan mereka, dan turut terlibat dalam proses litigasi yang membabitkan Kerajaan Amerika Syarikat.

Schneider, yang telah berkhidmat selama tiga tahun di Michigan, selain mengumumkan persaraannya pada Khamis, turut memberitahu media bahawa Mohsin, yang ketika ini penolong pertama Peguam AS untuk daerah timur Michigan, akan menggantikannya.

Lahir di Pakistan, Mohsin menjadi Pendakwa Raya Persekutuan selama lebih dari sedekad, dan mula berkhidmat di Pejabat Peguam AS sejak 2002.

“Sebagai seorang Muslim yang datang dari benua Asia, beliau akan membawa kepelbagaian dalam posisi yang cukup penting, iaiatu Ketua Penguat Kuasa Persekutuan di bahagian timur negeri ini,” menurut akhbar itu lagi.

Pelantikan Mohsin bagaimanapun perlu disahkan Dewan Senat AS sebelum boleh menjawat jawatan itu secara kekal.

Related posts

Leave a Comment