Kelonggaran suami isteri ‘PJJ’

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Kerajaan memberi kelonggaran kepada pasangan suami isteri jarak jauh atau ‘PJJ’ untuk melakukan perjalanan rentas negeri bermula esok, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun mereka perlu mendapatkan surat kebenaran dan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di balai berdekatan sebelum perjalanan.

“Walau bagaimanapun, bagi pasangan yang bergejala, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu sebelum bergerak pulang,” katanya dalam sidang media di sini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan permohonan untuk membuka beberapa lagi sektor ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Banyak pihak memohon kelonggaran diberikan untuk membenarkan operasi seperti aktiviti pasar malam, kedai gunting rambut, kedai cuci kenderaan dan beberapa sektor lain.

“Setakat ini, kita telah menyerahkan permohonan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membincangkan secara bersama dan meminta juga KKM meneliti permohonan itu sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri juga memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 482 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 444 individu dikompaun manakala 38 lagi direman.

Antara kesalahan ingkar SOP termasuklah tiada penjarakan fizikal (123), tidak memakai pelitup muka (114), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (72), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (120).

Related posts

Leave a Comment