Vaksin : Cegah jangkitan, mudarat

MENJAGA kemaslahatan ummah dan mencegah kemudaratan adalah antara pertimbangan yang harus diberi perhatian oleh masyarakat berhubung pengambilan vaksin bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Timbalan Mufti Singapura, Dr Mohammad Hannan Hassan berkata, sebagai khalifah di muka bumi ini, setiap orang perlu memainkan peranan untuk menjadikan bumi ini tempat yang selamat termasuk daripada pandemik yang sedang dihadapi.

Katanya, mengambil vaksin bukan disebabkan terpaksa atau darurat tetapi juga sebagai insan yang penuh yakin, penyayang demi keperluan kesinambungan kehidupan manusia dan semua ciptaan Allah di muka bumi.

Justeru beliau menggesa masyarakat Melayu/Islam agar bersikap proaktif dan mengambil vaksin bagi mencegah jangkitan.

“Mendapat vaksin bukan sahaja melindungi kesejahteraan peribadi kita, ia juga melindungi kesejahteraan masyarakat lebih luas,” katanya pada majlis forum

Vaksin, Bolehkah Kita Mengambilnya? Haruskah Kita Mengambilnya?  Rabu lalu.

Farum anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu turut disertai Ahli Jawatankuasa Fatwa MUIS, Ustaz Fathurrahman Dawoed dan pakar perbidanan dan sakit puan Dr Nurhidayati Mohamed Suphan.

Dr Mohammad Hannan juga berharap masyarakat kekal yakin dalam bimbingan yang diberikan ulama dan pakar setempat berhubung penggunaan vaksin ini yang mengambil pendekatan sama dengan vaksin sebelum ini.

Beliau mempersoalkan adakah sekiranya apa yang berlaku sekarang sebagai konspirasi dan mengikut telunjuk kuasa tertentu, adakah masyarakat tidak perlu berusaha mencari penyelesaian kepada masalah yang sudah berlaku ini?

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab ummah untuk mengambil tindakan mencegah demi kemaslahatan umum bukan lagi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, memang menjadi hak individu sama ada mendapatkan suntikan vaksin atau tidak tetapi kemungkinan yang tidak mengambilnya mudah dijangkiti dan secara tidak langsung akan memudaratkan orang lain.

Sementara itu, Ustaz Fathurrahman berkata sebarang irsyad atau fatwa yang ditentukan adalah berdasarkan prinsip Islam dan mengambil kira konteks khusus masyarakat.

Menurutnya vaksin adalah keperluan asas apabila berdepan pandemik yang mengancam nyawa dan dalam situasi ini, ada prinsip lain yang konsisten dengan perundangan Islam yang membenarkan penggunaan vaksin bagi melindungi nyawa.

“Walaupun vaksin yang ada sekarang tidak mengandungi sebarang penggunaan sumber binatang tetapi sekiranya ia mengandungi bahan-bahan yang biasanya dilarang, terdapat prinsip Islam seperti istihala atau istihlaq yang kita boleh timbangkan dalam memberi kebenaran bagi menggunakan vaksin,” katanya.

Katanya, kepentingan melindungi nyawa melebihi keprihatinan mengenai halal haram vaksin.

Menjawab keprihatinan berkaitan keselamatan vaksin, Dr Nurhidayati berkata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah menjalankan ujian untuk memastikan keselamatan vaksin.

“Vaksin yang diluluskan dan diedarkan di Singapura telah menjalani proses (pemeriksaan) ketat oleh pakar perubatan dalam bidang penyakit berjangkit,” katanya.

Dr Nurhidayati akur ada risiko kesan sampingan tetapi ia adalah kecil dan doktor memantau setiap individu yang menjalani vaksinasi dengan teliti untuk mengehadkan sebarang risiko berkaitan.

Related posts

Leave a Comment