Jangan abai lindungi haiwan terbiar

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menitahkan rakyat khususnya di Selangor tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Istana Alam Shah dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini menyatakan, baginda berdua melahirkan rasa dukacita dan terkilan kerana masih ada lagi individu serta pihak tertentu sengaja berlaku kejam terhadap haiwan berkenaan dan masih tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi mereka.

“Adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama memberi makan serta perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan ataupun apabila berada di dalam habitat sendiri,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, baginda juga menitahkan agar pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih pro-aktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar ini secara holistik, dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya menyebabkan haiwan ini dikurung atau dibunuh.

Baginda mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi.

Menurut kenyataan tersebut, baginda berdua kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi dan diberi perlindungan secukupnya.

Ini termasuk Snowy, seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman Sultan Sharafuddin, empat tahun lepas untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat atas inisiatif baginda sendiri.

“Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan Sultan Sharafuddin dan menjadi peneman setia baginda,” menurut hantaran itu.

Selain itu, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For The Prevention of Cruelty Animals (SPCA) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar dengan kira-kira 30 ekor daripadanya dipelihara oleh baginda sendiri manakala selebihnya sebagai haiwan angkat.

Menurut hantaran itu, sejak Mac 2017 hingga Disember lepas, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar telah dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor.

Related posts

Leave a Comment