PH kemuka tiga nama

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Pakatan Harapan (PH) hari ini menghantar tiga nama mewakili PKR, DAP dan Amanah untuk menyertai penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas berhubung Proklamasi Darurat.

Mereka adalah Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Bharu), Anthony Loke Siew Fook (Seremban), dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Setiausaha PH berkata penyertaan ke dalam jawatankuasa tersebut adalah seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pengesyoran kepada Seri Paduka Baginda sekiranya darurat dapat ditamatkan lebih awal, mahupun sebaliknya.

“Penyertaan wakil Pembangkang ke dalam Jawatankuasa Bebas ini tidak mengubah pendirian kami bahawa alasan-alasan yang dikemukakan Perdana Menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu ditandatangani Saifuddin sendiri selaku Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Loke (Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP), dan Dr Hatta Ramli (Setiausaha Agung Parti Amanah Negara).

Selain itu Majlis Setiausaha PH tetap bertegas bahawa majoriti Ahli-ahli Parlimen Pembangkang kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera.

Related posts

Leave a Comment