Pas, PN tidak perlu budaya ‘shopping’ ahli Parlimen

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Pas dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) memilih pendekatan mempertahankan kepercayaan rakyat secara langsung dan tidak langsung, tanpa perlu kepada budaya ‘shopping’ atau ‘membeli’ ahli-ahli Parlimen.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, berkata sebarang langkah menukar kerajaan dengan politik wang datang daripada kalangan mereka yang mempunyai dana dan daripada kelompok mengharapkan habuan, berbanding pembangkang yang hingga kini peruntukan disekat.

“Kami bergantung kepada rakyat dan pengorbanan mereka bersama Pas sejak penubuhannya hingga kini. Orang yang tidak boleh bertahan melalui ribut dan gelombang politik ini umpama mereka yang mabuk kapal di lautan.

“Sedangkan kerajaan sekarang yang menguasai wang dan dapat mempengaruhi mereka yang mencari segala projek menghasilkan kewangan dengan cara paling mudah.

Adapun pihak pembangkang pula disekat peruntukan yang wajib diberikan, bahkan dibekukan perjalanan kewangannya dan disita.

“Pada masa sama, pihak yang menyokong pembangkang pula dilakukan sekatan dan disusahkan kerana dianggap menjadi pencabar paling bahaya terhadap kerajaan,” katanya dalam Minda Presiden Pas bertajuk ‘Gempar Langkah Dubai’.

Semalam Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wujud ‘Langkah Dubai’ iaitu satu cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipercayai mahu dilaksanakan akhir bulan lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut mengakui bahawa rancangan sulit berkenaan hanya satu usaha yang membuang masa.

Beliau berkata, sebarang langkah menukar kerajaan menerusi akuan bersumpah (SD) bukan satu cara yang baik.

“Laporan dari segi perisikan memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu (di Dubai). Laporan selepas itu kami peroleh juga, tapi pada hemat kami, langkah itu hanya membuang masa,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Pas bersedia dan berusaha menunggu perubahan kerajaan melalui saluran proses demokrasi Raja Berperlembagaan.

“Pas akan terus bersabar kerana sejak ditubuhkan pada 1951 dengan hanya satu kerusi, parti itu terus beristiqamah dalam semua keadaan walaupun berdepan pasang surut dan naik turun gelombang politik,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Kerajaan Madani yang tidak nyata asas tamadunnya menubuhkan kerajaan laksana pokok yang reput akarnya, sehingga ditakuti akan tumbang disebabkan angin yang bertiup perlahan sahaja, apa lagi kalau berlaku taufan dan tsunami.

“Mendengar guruh di langit sahaja sudah disangkakan mesti akan datang angin yang dapat menumbangkan pokoknya yang tidak berakar tunjang kuat.

Laksana kata-kata dalam pantun Melayu yang tidak lupa: Melukut di tepi gantang,

Buka sanggul mencari kutu, Orang yang takut akalnya hilang, Jumpa tunggul dikata hantu,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu secara sinis turut menyifatkan Kerajaan Perpaduan masih bersikap pembangkang kerana sentiasa mencari kesalahan dan kelemahan pihak lawan.

“Maka cakapnya berdegar-degar, terus tidak menunaikan janjinya, lain yang ditanya lain yang dijawab, atau gelabah bertindak dahulu sebelum disiasat, tangkap dahulu sebelum nyata penyiasatannya.

“Kerajaan Perpaduan yang melangkah laksana anak ayam kehilangan ibu, kerana ibunya ke sana ke mari mencari makanan dengan meninggalkan anaknya sehingga boleh disambar helang yang sentiasa mencari peluang. Bapak ayam pula memang tidak mempedulikan anak kerana sibuk mengejar ayam betina lain,” katanya.

Related posts

Leave a Comment