Bendera ganti kehadiran awam

BUAT pertama kali dalam sejarah 200 tahun, upacara angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih di bangunan Capitol atau Capitol Hill kurang meriah kerana kehadiran orang ramai dihadkan berikutan pandemik Covid-19.

Pada masa yang sama langkah keselamatan juga dipertingkatkan berikutan kejadian rusuhan dua minggu lalu yang didakwa melibatkan penyokong Donald Trump yang membantah keputusan pilihan raya Presiden AS pada 3 November lalu.

Sebagai ganti, laman di hadapan bangunan Capitol dihiasi kira-kira 200,000 bendera sebagai tanda simbolik menggantikan kehadiran orang ramai yang tidak dapat dijemput bagi memeriahkan acara itu.

Secara keseluruhan upacara angkat sumpah Joseph Robinette Biden Jr @ Joe Biden sebagai Presiden AS berjalan lancar. Begitu juga Naib Presiden Kamala Harris.

Capitol mengandungi Dewan Kongres, Dewan Senat, Perpustakaan Kongres. Mahkamah Agung (Supreme Court), Mahkamah Daerah (District Court) dan pelbagai pejabat pentadbiran.

Terletak di kota pentadbiran; Washington D.C (District of Columbia), Capitol  dibina seawal tahun 1793 lagi, ketika pentadbiran Presiden AS yang pertama, George Washington.

Pada tahun 1790, Dewan Kongres AS meluluskan ‘Residence Act’ yang memberi hak eksklusif kepada Presiden Washington untuk memilih sebuah kawasan yang bersesuaian untuk pembinaan bangunan pertama legislatif AS.

Jurutera kelahiran Perancis, iaitu Pierre Charles L’Enfant dilantik sebagai perancang bandar Washington D.C, yang turut bertanggungjawab menentukan kedudukan rasmi bangunan ‘Capitol Hill’ yang dahulunya digelar sebagai ‘Jenkin’s Hill’.

Bangunan legislatif itu telah menjalani beberapa proses pengubahsuaian tetapi kekal dengan rupa bentuk yang ada pada hari ini.

Hanya beberapa hari selepas memasuki tahun 2021, bangunan ‘Capitol Hill’ telah dikepung dan diserang oleh sekumpulan pemberontak berbangsa Amerika Syarikat, yang mana kumpulan ini telah dituduh sebagai ‘Penyokong Trump’.

Ada laporan menyebut seramai 70 individu disabit bersalah kerana menceroboh bangunan ‘Capitol Hill’, di samping ratusan yang lain bakal berhadapan dengan proses penangkapan dan pertuduhan, berdasarkan kenyataan rasmi yang dibuat oleh ‘Federal Bureau Investigation’ (FBI).

Lima kematian turut direkodkan di mana empat kematian dalam kalangan kumpulan pemberontak, manakala satu daripadanya adalah anggota polis Capitol, iaitu Brian Sicknick yang berusia 42 tahun.

Tidak kurang daripada 60 anggota polis Capitol dan 56 orang anggota polis D.C Metro tercedera, ramai dalam kalangan mereka terpaksa dikejarkan ke hospital atas faktor intensiti kecederaan yang menimpa.

Related posts

Leave a Comment