PKP seluruh negara kecuali Sarawak

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Seluruh negara, kecuali Sarawak, diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kerajaan menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari hingga 4 Februari depan.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah terdapat peningkatan taburan kes positif Covid-19 dalam komuniti di negeri-negeri terbabit.

“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan) kerajaan bersetuju supaya PKP dilaksanakan di negeri-negeri tersebut bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini PKP melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari .

Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala di Perlis dan Sarawak pula diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang tempoh tersebut. 

Pada 16 Januari lalu, PKP dilaksanakan di Kelantan hingga 26 Januari ini.

Ismail Sabri juga berkata PKP Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court, Bentong, Pahang  akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, susulan trend penurunan kes COVID-19 yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.

Turut ditamatkan esok ialah PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak di Muar, Johor, kecuali bagi blok petempatan di blok C dan blok sekolah yang dilanjutkan hingga 3 Februari depan berikutan terdapat 85 baki kes aktif  di blok berkenaan.

Related posts

Leave a Comment