Masuk Singapura perlu insurans

SINGAPURA: Mulai 11.59 malam 31 Januari 2021, pelawat yang bercadang memasuki Singapura di bawah Pas Perjalanan Udara (ATP) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) perlu mempunyai insurans perjalanan untuk kos rawatan dan kemasukan ke hospital berkaitan Covid-19 di sini, dengan perlindungan minimum S$30,000.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), peraturan itu adalah keperluan baharu

langkah sekatan sempadan yang lebih ketat bagi menangani risiko kes import Covid-19 dan penularan jangkitan tempatan daripada pelawat.

Insurans perjalanan itu yang boleh dibeli dari syarikat insurans berpangkalan di Singapura atau di luar negara akan membantu pelawat membayar kos rawatan perubatan di Singapura.

Senarai produk insurans yang tersedia boleh didapati di laman web SafeTravel di https://safetravel.ica.gov.sg/health.

Untuk rekod Singapura mempunyai perjanjian RGL dengan lima negara termasuk Malaysia dan enam kawasan di China.

Dalam satu kenyataan, Kementerian itu berkata, berikutan kemunculan varian virus baharu dan keadaan Covid-19 yang semakin teruk di seluruh dunia, republik itu juga akan mengenakan langkah kawalan sempadan tambahan untuk semua pelawat.

Secara khusus, kementerian itu berkata bermula 11.59 malam pada 24 Januari 2021, semua pengembara termasuk rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) perlu menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 sebaik tiba di Singapura.

Keperluan menjalani notis tinggal di rumah (SHN) termasuk ujian PCR di akhir tempoh SHN akan diteruskan, menurut kenyataan itu.

Untuk mempercepatkan ujian PCR Covid-19 di lapangan terbang, MoH berkata para pengunjung amat digalakkan untuk mendaftar dan membuat bayaran prabayar ujian PCR Covid-19 sebelum mereka berlepas ke Singapura di https://safetravel.changiairport.com.

Sementara itu, sebagai langkah berjaga-jaga bermula 11.59 malam pada 18 Januari , semua rakyat Singapura dan PR yang pulang dari United Kingdom dan Afrika Selatan perlu menjalani pengasingan kendiri tambahan selama tujuh hari di kediaman masing-masing diikuti SHN selama 14 hari di kemudahan SHN.

Related posts

Leave a Comment