Kluster kenduri kahwin catat 21 kes

PUTRAJAYA 16 Jan. – Sebanyak 641 kluster dilaporkan setakat ini termasuk enam kluster baharu pada hari ini.

Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah 356, termasuk lima yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Impian, Kluster Utama Rini, Kluster Kuala, Kluster Malawati, dan Kluster Tapak Bina Bulatan.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 285 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 71 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini termasuk Kluster Sungai Putus (336 kes), Kluster Bukit Pasir (189 kes), dan Kluster Senai Cyber (111 kes).

Enam kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini adalah :

  • KLUSTER SENAI CYBER

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kulai di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-140377) dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Saringan bersasar yang dijalankan di beberapa buah kilang seterusnya mendapati seramai 113 lagi individu dikesan positif. Nama kluster merujuk kepada lokaliti beberapa buah kilang di mana penularan berlaku iaitu di Jalan Cyber 2, Senai Industrial Estate 3, Senai, Johor. Sehingga 16 Januari, sejumlah 198 individu disaring, di mana 114 kes dikesan positif.

  • KLUSTER TEMBOK NANAS

Kluster pusat tahanan ini melibatkan daerah Pontian di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-135241) merupakan seorang tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dilaporkan positif Covid-19 pada 10 Januari 2021 hasil saringan sebelum dihantar pulang ke negara asal. Saringan bersasar yang dijalankan seterusnya mendapati seramai 40 lagi PATI dikesan positif Covid-19. Nama kluster merujuk kepada tempat di mana penularan berlaku iaitu di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nanas yang terletak di Taman Emas, Pekan Nanas, Johor. Sehingga 16 Januari 2021, sejumlah 252 individu disaring, di mana 41 kes dikesan positif.

  • KLUSTER JALAN SEMBRONG

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kluang di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-116746) dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Januari 2021 hasil saringan kontak rapat. Saringan yang dijalankan di tempat kerja kes indeks seterusnya mendapati seramai 17 lagi individu dikesan positif Covid-19. Nama kluster merujuk kepada lokaliti asrama tempat tinggal kes-kes yang dilaporkan berlaku iaitu di Jalan Sembrong 3, Taman Perindustrian Sembrong, Kluang, Johor. Sehingga 16 Januari 2021, sejumlah 52 individu disaring, di mana 18 kes dikesan positif.

  • KLUSTER JALAN PERMATA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Seremban  di Negeri Sembilan. Kes indeks bagi kluster (iaitu kes ke-127012) ini dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Saringan yang dijalankan ke atas kontak rapat  seterusnya mendapati seramai 60 lagi individu dikesan positif Covid-19. Nama kluster merujuk kepada lokaliti tempat kerja kebanyakan kes yang dilaporkan berlaku iaitu di Jalan Permata 1/3, Arab Malaysian Industrial Park, Nilai. Sehingga 16 Januari 2021, sejumlah 414 individu disaring, di mana 61 kes dikesan positif.

  • KLUSTER TAMAN JUTA

Kluster ini melibatkan daerah Hilir Perak di Perak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-133242) dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan berlaku iaitu di Taman Juta Intan, Perak. Sehingga 16 Januari, sejumlah 48 individu disaring, di mana 14 kes dikesan positif.

  • KLUSTER KAMPUNG LEBU

Kluster berkaitan kenduri perkahwinan dan tahlil ini melibatkan daerah Bentong dan Kuantan di Pahang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-122732) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Januari 2021 hasil saringan kontak rapat. Saringan yang dijalankan ke atas kontak rapat terutama ahli keluarga dan tetamu majlis seterusnya mendapati seramai 20 lagi individu dikesan positif Covid-19. Nama kluster merujuk kepada lokaliti majlis tersebut berlangsung iaitu di Kampung Lebu, Bentong. Sehingga 16 Januari 2021, sejumlah 80 individu disaring, di mana 21 kes dikesan positif.

Related posts

Leave a Comment