Bangkai pesawat Sriwijaya ditemukan

JAKARTA 10 Jan. – Pasukan penyelamat yang terdiri daripada para penyelam Indonesia menemukan bahagian tubuh manusia, bangkai pesawat dan pakaian di perairan dekat pesisir Jakarta, hari ini susulan nahas pesawat Sriwijaya Air jenis Boeing 737-500.

Pesawat membawa 62 orang itu dilaporkan terhempas ke laut selepas kira-kira empat minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, petang semalam.

Sebuah kapal tentera mendapat isyarat dari SJ182 dan para penyelam menemukan bahagian pesawat dari kedalaman sekitar 23 meter.

Hingga kini, punca kejadian masih belum diketahui, dengan pihak berkuasa menumpukan usaha mencari dan menyelamat yang dilihat sebagai harapan amat tipis untuk menemui mangsa terselamat.

Beberapa bahagian tubuh manusia ditemui dan telah dibawa ke hospital polis untuk dikenalpasti.

Penemuan itu adalah hasil operasi membabitkan kapal perang, helikopter dan penyelam yang dikerah ke lokasi terbabit, hari ini.

Pihak berkuasa memaklumkan, pesawat itu membawa 62 penumpang dan kru, termasuk 10 kanak-kanak, yang kesemuanya adalah warga Indonesia.

Sepasang seluar panjang kanak-kanak berwarna merah jambu, jaket pelampung dan serpihan bangkai pesawat juga ditemukan.

Related posts

Leave a Comment