Permohonan Muda juga ditolak

KUALA LUMPUR  7 Jan. – Permohonan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menubuhkan sebuah parti politik telah ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tanpa sebarang sebab.

Dalam satu kenyataan hari ini, Muda menerima e-mel semalam yang menyatakan bahawa permohonan telah ditolak  selepas hampir empat bulan permohonan dikemukakan.

“Muda kecewa , kami telah memberi kerjasama penuh dan telah mematuhi segala syarat untuk pendaftaran. Oleh itu, tiada sebab kukuh untuk menolak pendaftaran.

“Kebebasan berpersatuan dan hak untuk mengambil bahagian dalam proses demokratik negara adalah hak asas setiap warganegara Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan tetapi hak ini telah dinafikan pihak kerajaan,” kata kenyataan itu.

Muda mendakwa langkah itu sebagai usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional untuk menghalang MUDA, serta penyokongnya, daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang dan menyifatkan langkah itu melanggar hak berperlembagaan Muda untuk membentuk persatuan.

Kata kenyataan itu, penolakan Muda juga datang sehari selepas pembongkaran skandal keluarga Ahli Parlimen Pasir Salak  Tajuddin Rahman berkait projek LRT Dang Wangi.

Muda yang diasaskan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mempertimbangkan segala pilihan yang sedia ada, termasuk tindakan mahkamah.

Related posts

Leave a Comment