2,295 kes baharu, 9 kematian

PUTRAJAYA 2 Jan. – Jumlah kes Covid-19 masih kekal empat angka dengan catatan 2,295 kes menjadikan jumlah keseluruhan 117,373 kes dengan kes aktif kebolehjangkitan 22,398, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,286 kes.

Bagi tempoh yang sama, sebanyak 3,321 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 94,492 kes atau 80.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata 135 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (109 kes), Kluster Tembok Gajah (14), Kluster Kolam Air (3), Kluster Tembok (3), Kluster Penjara Seberang Perai (3), Kluster Tembok Mempaga (2) dan Kluster Tembok Choh (1).

Beliau berkata sembilan kematian direkodkan hari ini melibatkan warganegara berumur 41 hingga 82 tahun, iaitu enam lelaki dan tiga perempuan.

Katanya sehingga kini, terdapat 125 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 51 memerlukan alat bantuan pernafasan.

 

Related posts

Leave a Comment