Lima keutamaan pada 2021

PUTRAJAYA 31 Dis. – Kerajaan menggariskan lima keutamaan pada 2021 dalam satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca-Cogid-19 bagi memulihkan situasi di Malaysia sebaik dan secepat mungkin.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata keutamaan pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.

Kedua, memperkukuh ekonomi prihatin rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca-COVID-19 melalui pelaksana Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketiga memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan dan keempat, menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat

Keutamaan kelima adalah memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.

Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu 2021 bertemakan ‘Bersemangat Melangkah ke Tahun Baharu 2021’.

Mengenai politik, Muhyiddin mengingatkan pemimpin politik agar menunjukkan teladan dan tidak bertindak melulu sehingga mengganggu kestabilan negara.

Perdana Menteri, mahu kebajikan rakyat didahulukan, terutama ketika negara sedang berjuang melawan pandemik Covid-19.

“Jutaan rakyat telah terjejas dengan pandemik ini, maka adalah lebih baik jika kita pamerkan kematangan dalam berpolitik dan terus memahami keluh-kesah, dan mendengar denyut nadi kemahuan rakyat.

“Adalah baiknya jika kita menolak ke tepi soal politik dan bersatu demi memelihara kebajikan rakyat,” katanya.

Muhyiddin turut menekankan aspek good governance atau tadbir urus yang baik, yang akan memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau percaya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik akan mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.

“Saya percaya jika kita bekerja demi rakyat, mendahulukan rakyat, membela rakyat maka sudah tentu rakyat akan terus menyokong segala usaha kerajaan demi kebaikan bersama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment