Singapura catat 5 kes baharu

SINGAPURA 28 Dis. – Lima kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan hari ini turut melibatkan seorang krew pesawat Singapore Airlines (SIA) yang juga pemandu sambilan Grab .

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataan memberitau, lelaki berusia 48 tahun itu tidak menampakkan sebarang tanda jangkitan.

Beliau dikesan selepas menjalani dua ujian proaktif yang dikendalikan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) bagi krew pesawat yang pulang daripada penerbangan luar negara.

Baru-baru ini beliau mengembara ke Amerika Syarikat bagi tugasan antara 12 hingga 16 Disember lalu di bawah jadual perjalanan yang dikawal.

Beliau diuji pada 23 Disember lalu dengan hasil ujiannya tidak dapat diputuskan pada 25 Disember dan memerlukan satu lagi ujian. Pesakit ini duduk di rumah sahaja sambil menanti ujian lanjutan.

Sampel swab yang diperoleh daripadanya pada 27 Disember bagaimanapun menunjukkan dirinya positif Covid-19 dan dibawa ke Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit dengan ambulan pada hari yang sama. 

Ujian serologi (bagi mengesan antibodi dalam darah) yang dijalani juga didapati negatif, memberi gambaran wujudnya jangkitan Covid-19 kini.

Kesemua kru pesawat yang mengembara bersamanya dalam penerbangan ke Amerika Syarikat dengannya bagaimanapun tidak dijangkiti Covid-19.

MOH menambah, memandangkan jarak jauh antara kembaranya dengan ujian Covid-19 yang didapati positif itu, pihak kementerian meletakkan kes ini sebagai kes masyarakat sedang siasatan epidemiologi dijalankan.

Buat masa ini, semua kontak rapat kes ini termasuk anggota keluarga dan rakan sekerja telah diasingkan dan diletakkan dalam perintah kuarantin.

Sementara itu, tiga kes merupakan warga Singapura yang kembali dari India, Myanmar dan United Kingdom manakala satu kes pula adalah pemegang pas tanggungan yang memiliki sejarah kembara dari India.

Semua kes import ini sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan diasingkan setibanya di Singapura. Mereka diuji ketika menjalani SHN atau sewaktu diasingkan.

Related posts

Leave a Comment