Jepun, Indonesia tutup ‘pintu’

MULAI Isnin 28 Disember, Jepun melarang para pelawat asing masuk ke negara itu selama lima minggu bagi mengawal penularan varian baru virus Covid-19.

Dalam tempoh itu hanya rakyat dan warga asing yang mempunyai status penduduk Jepun yang pulang dari luar negara dibenarkan masuk dengan syarat menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.

Beberapa kes Covid-19 virus varian baharu yang lebih mudah berjangkit seperti di Britain telah dikesan di Jepun.

Semalam saja, hampir 3,000 kes baharu ru Covid-19 dicatatkan di Jepun. Lebih 700 daripadanya di ibu kota Tokyo.

Penularan pesat Covid-19 di Jepun menyebabkan katil-katil hospital di Tokyo dan bandar Osaka bagi para pesakit kritikal kini hampir mencapai tahap maksimum. 

Sementara itu, mulai 1 Januari, Indonesia melarang semua warga asing masuk ke negara itu bagi mencegah penularan varian baru virus Covid-19.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata larangan itu berkuat kuasa sehingga 14 Januari.

Menurutnya warga Indonesia yang pulang ke tanah air semasa tempoh itu harus mematuhi peraturan kesihatan Covid-19 seperti menjalani ujian swab, PCR dan kuarantin.

Indonesia pada Isnin (28 Dis) melaporkan 5,854 kes baru Covid-19 termasuk lebih 1,600 di ibu kota Jakarta.

Data Kementerian Kesihatan Indonesia juga menunjukkan 215 lagi pesakitnya meninggal dunia.

Sehingga hari ini jumlah kes di negara itu mencecah 719,219 orang dengan 21,452 kematian dicatatkan. 

Related posts

Leave a Comment