Tsunami jadi kenangan….

CATATAN DARI FB SAYA : 26 Disember 2018

26/12/2004 – 26/12/2018

TSUNAMI: Hari ini tidak ada penerbitan akhbar @ media cetak. Semalam semua bercuti kerana menyambut Krismas. Setiap kali Krismas juga akan mengingatkan kita tarikh 26 Disember 2004. Ombak besar tsunami menerjah beberapa sudut dunia pada tarikh berkenaan. Acheh paling parah, lebih 160,000 jiwa dilaporkan menjadi korban.

Tsunami sebelum itu terlalu asing bagi kebanyakan kita. Hanya gempa bumi yang diberi perhatian. Namun sejak itu, tsunami yang banyak memberi pengajaran dan keinsafan kepada manusia begitu popular. Sehinggakan di Malaysia istilah tsunami juga digunakan untuk perkembangan politik. Tsunami politik, paling teruk apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang selepas 60 tahun berkuasa.

Biar apa pun teori berkaitan punca malapetaka ini yang dikatakan manusia, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Selepas 2004, tsunami terus menerjah tanpa mampu disekat oleh manusia dan kecanggihan teknologi. Masyarakat serumpun di negara tetangga kita sudah sering kali diterjah tsunami. Tahun ini saja sudah dua kali yang menyebabkan ramai yang terkorban dan hilang tempat kediaman.

Selepas Acheh, tanggal 28 September lalu, Palu pula dipalu gempa dan tsunami. Kampung halaman hilang ditelan bumi dan jumlah korban juga ramai. Dan hanya beberapa hari lalu, 23 Disember, sekali lagi tsunami menerjah saudara mara tetangga kita. Kali ini, membadai pantai peranginan di antara kepulauan Sumatera dan Jawa. Julai lalu gempa juga menggegarkan Lombok.

Manusia hanya mampu meramal, meneka dan memberi amaran. Itu pun sebagai persediaan, tanpa kepastian sama ada tsunami datang atau tidak. Jika tidak ada, syukur Alhamdulillah tetapi jika berlaku tidak ada pilihan lain kerana itu sudah ketentuan-Nya. Maka jangan kita alpa dan lupa.
Ingatlah setiap kerosakan yang berlaku di bumi ini juga ada penyebabnya.

Kita tidak mampu menjangka tetapi renungi firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41:
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”
Semoga tsunami menginsafkan kita!

Related posts

Leave a Comment