Kawalan kendiri jadi amalan

PUTRAJAYA 25 Dis. – Majoriti responden tinjauan amalan norma baharu oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan mereka sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi pencegahan Covid-19, iaitu memakai pelitup muka (93.3 peratus), menjaga jarak fizikal (89.6 peratus), dan mencuci tangan dengan air serta sabun atau hand sanitizer (89.7%).

Bagaimanapun hampir kesemua responden hanya berani menegur ahli keluarga dan kira-kira 80 peratus berani menegur rakan-rakan sementara 56 hingga 59 peratus  tidak berani menegur orang lain berhubung amalan pencegahan yang disenaraikan.

Tinjauan amalan norma baharu secara atas talian daripada 25 hingga 30 November 2020 itu melibatkan 36,841 responden.

Objektif tinjauan ini adalah untuk mengenal pasti amalan norma baharu yang diamalkan dalam kalangan komuniti dan mengenal pasti pemerkasaan komuniti dalam menegur ahli keluarga, rakan-rakan dan individu-individu lain untuk mengamalkan norma baharu di Malaysia.

Hasil tinjauan mendapati 93.8 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk memakai pelitup muka; 90.1 peratus berani menegur untuk menjaga jarak fizikal; dan 90.8 peratus berani menegur untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.

Manakala berkaitan dengan teguran kepada rakan-rakan pula, didapati 82.2 peratus responden menyatakan mereka berani menegur untuk memakai pelitup muka; 79.4 peratus berani menegur  untuk menjaga jarak fizikal; dan 79.2 peratus responden berani menegur untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.

Walau bagaimanapun, sekiranya teguran tersebut melibatkan orang lain, hanya 57.3 peratus responden berani menegur untuk memakai pelitup muka; 59.6 peratus berani menegur untuk menjaga jarak fizikal; dan 56.7 peratus berani menegur  untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.

Hasil tinjauan ini merupakan satu dapatan yang amat positif dan memberangsangkan. Ini menunjukkan masyarakat Malaysia mempunyai kawalan kendiri yang tinggi.

Segala perubahan bermula dengan diri sendiri dan ia merupakan langkah pertama dalam segala kejayaan termasuklah kejayaan dalam memerangi pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment