Kebimbangan varian baharu

BANYAK negara mula bimbang dengan varian baharu Covid-19 khususnya di Eropah apabila negara-negara berkenaan mengambil pelbagai langkah sekatan atau larangan perjalanan antara negara.

Beberapa negara dunia melarang penerbangan dan perjalanan dari UK kerana bimbang tentang varian baharu virus tersebut.

JERMAN pada Selasa melanjutkan larangan perjalanan dari Britain hingga 6 Januari walaupun Suruhanjaya Eropah sebelum ini mencadangkan negara anggota menamatkannya.

Maklumat perjalanan terkini yang dikeluarkan pada Selasa itu melarang pelancong dari Britain masuk ke Jerman mulai 22 Disember hingga 6 Januari.

Larangan itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada warga Jerman.

SCOTLAND pula mengumumkan langkah sekatan tertinggi iaitu tahap keempat bagi memerangi varian baharu Covid-19 yang dilapor mempunyai kadar penularan tinggi.

Menteri Pertama, Nicola Sturgeon berkata sekatan yang lebih ketat diperlukan negara itu bagi mengekang varian berkenaan.

“Sekatan tahap empat ketika ini tidak begitu ketat seperti penutupan bulan Mac dan sehingga sekarang merupakan hal yang baik.

“Namun, nampaknya kita mungkin menghadapi virus yang tersebar lebih cepat daripada sekarang berbanding bulan Mac,” katanya

Tambahnya, akan ada penilaian untuk pastikan sekatan tahap tertinggi negara itu mencukupi untuk mengurangkan penyebaran virus.

Sekatan terbaharu ini akan menyaksikan sektor perhotelan, kedai runcit dan perniagaan tidak penting ditutup sementara tarikh pelajar kembali ke sekolah menjelang tahun baharu juga sedang dikaji.

KUWAIT  menggantung semua penerbangan komersial antarabangsa dan menutup sempadan sehingga akhir tahun selepas laporan varian baharu yang dikesan di UK.

Pihak berkuasa Kuwait melaporkan keputusan berkenaan adalah langkah berjaga-jaga dan akan disemak semula selepas 10 hari.

Namun penerbangan kargo dan dagangan akan diteruskan.

Pihak berkuasa turut mengarahkan mereka yang tiba dari EU dan UK pada minggu lepas untuk menjalani saringan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment