Enam kluster baharu

SEHINGGA 11 Disember 2020, terdapat 407 kluster direkodkan termasuk enam kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini. Jumlah kluster yang tamat pula adalah 217 termasuk hari ini iaitu Kluster Taman Laut di Selangor, Kluster BMU di Melaka, dan Kluster Ikhtisas yang melibatkan Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 190 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 48 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini. Pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sungai Putus (369 kes), Kluster Rumah Merah (150 kes) dan Kluster D’Bajaru (133 kes).

Terdapat enam kluster baharu yang kesemuanya melibatkan tempat kerja telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

KLUSTER SUNGAI PUTUS

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Klang di Selangor. Kes-kes awal bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 9 Disember 2020 hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah kilang. Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 2,001 individu disaring, di mana 427 kes dikesan positif COVID-19. Kluster ini melibatkan sembilan (9) warganegara dan 418 bukan warganegara.

KLUSTER ERIMA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak, Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-73290) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala. Berikutan kes tersebut, majikan melaksanakan saringan ke atas  para pekerja dan mendapati seramai 28 lagi individu yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks dikesan positif Covid-19. Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 83 individu disaring, di mana 29 kes dikesan positif.

KLUSTER TAPAK BINA JALAN BERANGAN

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa, dan Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes awal bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 9 Disember 2020 hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak binaan. Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 1,246 individu disaring, di mana enam kes  dikesan positif dalam kluster ini.

KLUSTER LANGKASUKA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kulai dan Johor Bahru di Johor. Kes indeks (iaitu kes ke-71291) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 113 individu  disaring, di mana 14 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN COLLEGE

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dan daerah Petaling di negeri Selangor. Kes indeks (iaitu kes ke-68884) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 35 individu disaring, di mana 11 kes dikesan positif.

KLUSTER SUNGAI KELUANG

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang. Kes indeks (iaitu kes ke-71197) dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Disember 2020 melalui saringan pulang ke negara asal. Hasil saringan kontak rapat di tempat kerja seterusnya mendapati seramai 16 kes lagi dikesan positif. Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 99 individu disaring, di mana 16 kes telah dikesan positif.

Related posts

Leave a Comment