Titah Sultan maslahah ummah

KHUTBAH Jumaat di Selangor hari ini mengambil sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-75. Khatib menyampaikan khutbah bertajuk “Titah Sultan, Maslahah Ummah”.

Adalah menjadi kewajipan setiap pemimpin menjadi pemimpin yang adil. Khatib menarik perhatian mengenai nasihat Imam al-Hassan al-Basri kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Katanya:  “Pemimpin yang adil tidak ubah seperti ibu yang sentiasa mencintai anaknya, dia mengandung dan melahirkannya dengan susah payah, dia mendidiknya pada saat masih kecil, dia tidak tidur malam bila anaknya juga tidak tidur malam, dia akan merasa tenang bila anaknya tenang, dia menyusuinya dan kemudian mendukungnya, dia merasa senang bila anaknya sihat dan merasa gundah bila anaknya sakit.”

Bagi Selangor, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri memperuntukkan bahawa menjadi tanggungjawab baginda untuk memerintah negeri dan memelihara agama Islam sebagai agama negeri. Sebagai Sultan, tanggungjawab ini sangat besar bagi memastikan negeri, rakyat dan agama Islam dalam keadaan sejahtera, maju dan terpelihara.  Tanggungjawab yang diamanahkan ini akan ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat nanti.

Sultan memainkan peranan amat penting sebagai pelindung rakyat yang berbilang kaum dan agama. Walaupun Islam sebagai agama negeri, namun undang-undang membenarkan agama lain boleh diamalkan oleh penganut agama tersebut dengan aman. Di sinilah, Sultan menjadi pelindung rakyat memastikan rakyatnya hidup dalam keadaan harmoni dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Sultan juga memainkan peranan sangat penting sebagai penyatu pemikiran rakyat. Di sinilah kedaulatan Sultan menjadi asas pemerintahan.

Sebagai contoh wabak Covid-19 yang sedang melanda, Baginda sering bertitah menekankan bahawa semua pihak mesti berwaspada, berdisiplin dan patuh kepada SOP bagi menangani dan memutuskan rantaian wabak ini. Disamping itu, kepentingan rakyat yang ditimpa kesusahan akibat Covid-19 mesti diutamakan berbanding kepentingan politik tertentu.

Sesungguhnya peranan dan sumbangan Sultan sebagai Ketua Agama Islam tidak dapat dinafikan lagi dalam menjaga kesucian dan penyebaran agama Islam. Apa sahaja isu dan permasalahan yang boleh mengganggu gugat Islam dan menimbulkan keresahan umat Islam seperti isu ajaran sesat akan menjadi penekanan dalam titah baginda.

Baginda mahu fahaman yang menyeleweng seperti liberalisme ditangani segera supaya tidak merosakkan aqidah umat Islam. Baginda juga menggesa umat Islam terus istiqamah berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Justeru khatib mengajak rakyat supaya mentaati Sultan sebagai Ulil Amri atau pemerintah yang jelas mengajak kepada kebaikan dan kemaslahatan ummah. Rakyat hendaklah menjunjung kasih atas nasihat dan titah Tuanku serta menzahirkan ketaatan yang tidak berbelah bagi.

Selagi mana seseorang pemimpin atau pemerintah yang mentaati Allah, selagi itulah kita sebagai rakyat wajib mentaatinya.

Related posts

Leave a Comment