Keselamatan vaksin jadi keutamaan – Khairy

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kerajaan memandang serius isu keselamatan vaksin Covid-19 dan tidak akan berkompromi mengenainya, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Katanya, keputusan akhir penggunaan vaksin perlu mendapat kelulusan dan pendaftaran  Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia .

“Satu matlamat utama daripada dua fasa pertama percubaan klinikal ialah keselamatan.  Setiap vaksin perlu lulus dua fasa ini dan mesti dibuktikan selamat sebelum vaksin memasuki fasa ketiga,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairy menjelaskan  demikian  berhubung isu keselamatan, keberkesanan dan kestabilan vaksin berikutan kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai isu pembelian vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer Inc.

Tengku Razaleigh dalam ulasannya mengenai perjanjian antara kerajaan dengan firma farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 antara lain berkata, vaksin itu tidak pernah digunakan ke atas manusia sebelum ini, dibangunkan dengan terlalu pantas dan kerajaan perlu banyak menjawab banyak persoalan sebelum membenarkannya digunakan di Malaysia. 

Beliau membangkitkan persoalan mengenai peruntukan kerajaan untuk memperoleh, menyimpan dan menggunakan vaksin Covid-19 Pfizer Inc hanya mencukupi untuk 20 peratus sahaja populasi rakyat Malaysia.

Khairy berkata, memandangkan kenyataan berkenaan tidak ditarik balik, dikongsi secara meluas, dipetik media dan turut dirujuk dalam perbahasan di Parlimen, beliau menganggap ia adalah isu awam dan perlu ada reaksi balas.

“Saya tidak pasti dari mana beliau memetik nombor berkenaan, tetapi ia langsung tidak berasas,” jelas Khairy dalam kenyataan media semalam, Rabu.

Mengenai keupayaan Malaysia yang juga diragui bagi proses penyimpanan vaksin yang memerlukan suhu ultra sejuk, Khairy berkata, pihaknya mengenal pasti kemudahan peti sejuk beku di seluruh negara dengan suhu -80 darjah Celsius.

“Misalnya, universiti awam dan institusi kajian awam mempunyai lebih daripada 125 peti beku ultra sejuk. Sekiranya ia tidak boleh dipindahkan, kementerian akan aturkan bagi pembekalan peti sejuk beku tambahan,” katanya.

Pada masa sama, Khairy menegaskan bahawa kebanyakan tuduhan dibuat Ahli Parlimen Gua Musang itu mengandungi fakta salah, sekali gus memerlukan ia dijawab secara terperinci.

“Ku Li (Tengku Razaleigh) dalam kenyataan dikeluarkan berkata, rundingan dengan Pfizer menelan belanja RM3 bilion iaitu RM2 bilion untuk vaksin dan RM1 bilion untuk kos pengangkutan dan penyimpanan, sehingga menjadikan harga bagi satu dos RM234.

“Dakwaan ini tidak masuk akal. Walaupun saya tidak dapat menyatakan harga tepat untuk vaksin Pfizer memandangkan terikat dengan perjanjian, perkara ini sudah disebut sebelum ini dalam jawapan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu, bahawa kosnya jauh lebih rendah iaitu kurang daripada RM100 setiap dos dan ia merangkumi kos penghantaran,” jelasnya lagi.

Beliau turut menegaskan kerajaan memandang serius isu keselamatan vaksin dan atas dasar itu, ujian klinikal dibuat secara berperingkat bagi memastikan ia bukan sahaja berkesan tetapi selamat digunakan.

“Lebih banyak maklumat akan diperoleh dalam tempoh ujian fasa klinikal ini berlangsung. Berdasarkan data yang dikongsi menunjukkan vaksin ini berkembang dengan sangat efektif untuk mencegah penyakit.

“Perkara ini penting kerana objektif pertama bagi strategi vaksinasi adalah memastikan lebih ramai tidak dijangkiti atau meninggal dunia disebabkan Covid-19,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Khairy turut menjawab dakwaan Tengku Razaleigh yang memetik pandangan pakar iaitu bekas Naib Presiden Pfizer, Dr Mike Yeadon, dengan mengaitkan penggunaan vaksin sebagai tidak selamat.

“Sekiranya kita bergantung kepada imuniti semula jadi, ini bermakna lebih ramai individu akan jatuh sakit. Ini memberi implikasi kepada sistem penjagaan kesihatan yang mungkin perlu menampung jumlah pesakit melebihi kemampuan.

“Walaupun kapasiti kita setakat ini mencukupi untuk mengawal kes positif Covid-19 ketika ini, kerajaan mesti cuba melakukan yang terbaik untuk melindungi masyarakat daripada diserang penyakit dan risiko kehilangan nyawa,” katanya.

Khairy berkata peruntukan yang dianggarkan berjumlah RM3 bilion cukup untuk memperoleh dos mencukupi bagi melindungi 70 peratus rakyat bukan hanya 20 peratus seperti didakwa Tengku Razaleigh dan perjanjian dengan Pfizer jelas tidak menggunakan keseluruhan peruntukan itu.

Beliau juga menjelaskan pembangunan vaksin Covid-19 dipercepatkan kerana beberapa faktor, kebanyakannya berkaitan sains dan teknologi yang berubah dengan ketara dalam dekad lalu dengan platfrom baharu seperti “messenger RNA” (mRNA) dan vaksin berasaskan “adenoviral vector”.

“Pembangunan ini berlaku sebelum pandemik dan dengan segera diguna pakai untuk membangun satu vaksin bagi Covid-19,” kata beliau.

Related posts

Leave a Comment