PKRC-MAEPS diaktif semula

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC – MAEPS 2.0) yang akan diaktifkan semula mampu menampung kapasiti sehingga 10,000 pesakit.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun jumlah itu akan dilakukan secara tiga fasa membabitkan 3,000 katil pada fasa pertama, 3,300 katil pada fasa kedua dan 3,700 katil pada fasa ketiga.

Keputusan untuk mengaktifkan PKRC MAEPS 2.0 secara segera ini adalah berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mendadak dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Skop operasi kali ini akan melibatkan pesakit Covid-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan akan hanya menempatkan pesakit bukan warganegara (BWN) sahaja,” katanya dalam sidang media di sini.

Pengaktifan pusat berkenaan turut melibatkan pemindahan pesakit Covid-19 (BWN) daripada Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILLKM), Sungai Buloh ke MAEPS.

“Memandangkan PKRC MAEPS 2.0 akan menempatkan warganegara asing dalam jumlah kapasiti yang tinggi, aspek keselamatan akan dipertingkatkan lagi oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata PKRC (MAEPS) 2.0 ini akan dibuka secara berfasa dengan kapasiti maksima sebanyak 1,000 buah katil. Fasa pertama bermula pada 9 Disember dengan kapasiti sebanyak 650 buah katil yang kemudian akan ditambah secara berperingkat.

Bilangan pesakit yang akan ditempatkan di PKRC MAEPS 2.0 dijangka meningkat minggu ini di mana dijangkakan seramai 400 orang pesakit baharu Covid-19 kategori 1 akan ditempatkan di fasiliti tersebut.

Pentadbiran PKRC (MAEPS) 2.0 ini akan diletakkan di bawah kawalan Ketua Komander Wilayah Tengah iaitu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Ia merupakan kolaborasi di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pelbagai agensi Kerajaan yang lain termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),  Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MAEPS sendiri.

Related posts

Leave a Comment