99 pulih, 51 kes baharu

SEBANYAK 99 kes Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj hari ini 25 April, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih dan discaj di Malaysia ialah 3,762 kes, iaitu 65.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes yang dibenarkan discaj hari ini hampir dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan.

“Sehingga 25 April 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 51 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,742 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,882 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 98 kes iaitu 1.71 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian ke-97 (kes ke-2,354) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 April pukul 3.53 pagi.

Kes kematian ke-98 (kes ke-2,806) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1,346 (yang merupakan anak beliau). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 24 April pukul 5.43 petang.

Mengulas mengenai kluster PUI (individu dalam siasatan) Bali di sebuah pusat perubatan di Kuantan, Pahang, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 43 kes disahkan positif bagi kluster itu dan 10 orang daripada jumlah itu adalah anggota kesihatan di pusat perubatan berkenaan.

Seramai 30 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang; sembilan orang telah sembuh; seorang sedang dirawat di unit rawatan rapi dan tiga pesakit telah meninggal dunia.

Sebanyak 2,301 ujian saringan Covid-19 telah dijalankan melibatkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan itu.

Related posts

Leave a Comment