Peletakan jawatan MB diterima

IPOH 6 Dis. – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memberi perkenan menerima peletakkan jawatan Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Abdul Rahim Mohamad Nor berkata Ahmad Faizal mempersembahkan warkah peletakkan jawatan itu kepada Sultan Nazrin, semasa mengadap baginda di Istana Kinta di sini, pada pukul 3 petang semalam.

“Susulan kehilangan sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap Menteri Besar,  kedudukan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak terjejas secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata ia berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Menurut Abdul Rahim, Sultan Nazrin menzahirkan titah terima kasih kepada Ahmad Faizal yang melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar sejak 12 Mei 2018, dengan dua kali mengangkat sumpah jawatan iaitu kali pertama pada 12 Mei 2018 dan kali kedua pada 13 Mac lalu.

“Baginda turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak atas perkhidmatan yang diberikanm dalam tempoh perkhidmatan mereka,” katanya.

(FOTO di majlis angkat sumpah jawatan MB Perak ke-13 pada 13 Mac 2020)

Related posts

Leave a Comment