518 ingkar arahan PKP ditahan

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Sebanyak 518 individu ditahan, dengan 517 daripadanya dikompaun dan seorang direman kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, 193 individu gagal

mematuhi arahan penjarakan fizikal, 119 kes aktiviti di pusat hiburan, 71 kes tidak

memakai pelitup muka, 58 kes gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan lain-lain sebanyak 77 kes.

Dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini, beliau berkata sebanyak 2,361 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,682 anggota telah membuat pemantauan di 3,543 pasar raya, 4,880 restoran serta 1,623 penjaja, 1,293 kilang, 3,377 bank dan 508 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,024 terminal pengangkutan darat, 237 terminal pengangkutan air serta 62 terminal pengangkutan udara.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 47 pendatang asing diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram, dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail Sabri berkata sejak April hingga semalam, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat sebanyak 13,786 pemeriksaan yang melibatkan 7,930 tapak binaan.

Beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 81,896 individu pulang ke tanah air dari 36 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 79 hotel serta 18 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 11,485 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 509 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 69,902 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Related posts

Leave a Comment