1,335 kes baharu, 2 kematian

PUTRAJAYA 6 Dis. – Kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini kekal empat digit iaitu 1,335 kes menjadikan jumlah kumulatif kes positif dalam negara sebanyak 72,694, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia menjadikan bilangan kes aktif kebolehjangkitan 11,039 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 1,069 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 61,273.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 1,335 kes baharu hari ini sebanyak 1,332 kes adalah kes penularan dalam negara manakala bakinya kes import.

Dr Noor Hisham berkata 243 kes (18.2 peratus) dilaporkan hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Tembok (92 kes), Kluster PTS Sibuga (tujuh kes), Kluster Bakti (dua kes) dan Kluster Rumah Merah (satu kes).

Sementara itu, terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 382 kes (0.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat 126 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment