Tiga masjid ditutup sementara

SINGAPURA: Tiga buah masjid iaitu Masjid Ahmad di Pasir Panjang, Masjid En-Naeem di Hougang dan Masjid Temenggong Daeng Ibrahim di Telok Blangah (foto) ditutup sementara hari ini untuk pembersihan dan pembasmian kuman.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melalui Facebooknya memaklumkan penutupan itu berikutan dikunjungi individu yang positif Covid-19.

Berikutan penutupan itu semua tempahan solat berjemaah di masjid-masjid berkenaan pada Rabu, 2 Disember dibatalkan secara automatik.

Menurut MUIS, Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menjejaki mereka yang mungkin berhubung rapat dengan pesakit dan jemaah yang dikenal pasti berhubung rapat dengan individu dijangkiti akan dihubungi bagi tindakan susulan yang perlu.

MUIS menyeru orang ramai supaya memainkan peranan untuk memastikan keselamatan di masjid-masjid dengan mematuhi langkah seperti menggunakan TraceTogether ketika memasuki masjid.

Ia dapat memastikan bahawa sesiapa yang mungkin terdedah kepada orang yang dijangkiti boleh dikenal pasti dan dihubungi dengan segera. 

Related posts

Leave a Comment