PKPD Meru dilanjutkan

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Zon B, Zon C Taman Meru 2C Ipoh, Perak dilanjutkan tujuh hari lagi mulai Jumaat ini sehingga 10 Disember , kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata lanjutan PKPD di lokaliti itu berikutan terdapat baki sampel ujian saringan Covid-19 yang belum mendapat keputusan serta berdasarkan  nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh KKM,

Sebelum ini PKPD di kawasan itu bermula 20 November sehingga 3 Disember di mana KKM (Kementerian Kesihatan) melaksanakan sebanyak 1,793 saringan dan sebanyak 66 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti tersebut.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,254 saringan dan secara kumulatif telah merekodkan 606 kes positif Covid-19.

KKM mengesahkan kes positif terakhir yang dilaporkan adalah pada 29 November dan semua keputusan sampel ujian saringan telah pun diperolehi serta tiada lagi sampel yang masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan akan tamat esok seperti dijadualkan.

Beliau berkata bagi PTS Tawau, KKM telah melaksanakan 2,613 saringan dengan 774 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan dan kes terakhir yang dilaporkan pada 30 November.

Bagi Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, KKM telah membuat 1,809 ujian saringan dan sebanyak 799 jumlah kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan.

Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud, Sabah esok.

Sehingga kini KKM mengesahkan kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal. Berdasarkan nasihat dan penilaian risiko KKM, MKN setuju menamatkan PKPD di lokaliti terbabit seperti dijadualkan.

Related posts

Leave a Comment