‘Tunggu pusingan seterusnya‘

KUALA LUMPUR: Presiden PKR,  Anwar Ibrahim berkata Majoriti pembangkang mahu memberi peluang kepada kerajaan dengan tidak menyokong undi belah bahagi ketika pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang berkata, majoriti kem pembangkang bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi akan kembali membahaskannya pada peringkat jawatankuasa Isnin nanti.

Katanya, beliau meminta Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi.

“Saya dapati agak sukar untuk kita memberikan penolakan keras kepada peringkat awal. Saya telah meminta rakan-rakan saya bersetuju dengan pandangan saya supaya untuk pusingan pertama ini, kita bagi laluan,” ujarnya.

Anwar menegaskan bahawa pihaknya telah buat keputusan untuk undi belah bahagi seandainya wujud percanggahan.

“Ini sekiranya ada percanggahan di beberapa kementerian dengan pendirian kami dalam pengurusan kerajaan, tadbir urus baik, penyelewengan dan peruntukan JASA dikurangkan.

“Jadi ini akan diputuskan pada hari Isnin,” tambahnya selepas Belanjawan 2021 diluluskan.

Beliau berkata, pertimbangan mereka adalah kerajaan mengutamakan dan meningkatkan kebajikan serta projek prorakyat seperti untuk golongan petani, nelayan, pekebun kecil, penganggur dan pekerja kilang selain isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium bank.

“Menteri Kewangan gagal memberikan penjelasan, dia umum-umum… tetapi dari segi angka menyeluruh belanjawan, tidak disentuh. Menteri Kewangan harus memberikan penjelasan kerana unjuran perbelanjaan perlulah tersasar, ini pandangan kita,” jelas Anwar lagi.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook mengaku bertanggungjawab memberi arahan supaya ahli-ahli Parlimen DAP tidak bangun menyokong undi belah bahagi selepas beliau mendapat mesej daripada Anwar.

“Mengapa kita tidak undi belah bahagi? Sebabnya ialah kita tidak menolak keseluruhan belanjawan tersebut. Ada perkara yang kita boleh bersetuju dan sokong.

“Namun, banyak juga peruntukan yang kita tolak seperti peruntukan RM85 juta untuk JASA, pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah dan isu-isu lain yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, DAP akan membantah dan menolak peruntukan yang tidak disetujui di peringkat jawatankuasa Kementerian masing-masing.

“Contohnya, kita akan minta undi belah bahagi untuk tolak belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana JASA merupakan agensi di bawah kementerian tersebut,” katanya.

Tambah Loke, jika semua ahli Parlimen pembangkang bangun memohon undi belah bahagi, terdapat kemungkinan Perikatan Nasional akan menjadikannya satu polemik untuk membuat pelbagai tuduhan terhadap Pakatan Harapan.

“Saya faham ramai ahli dan penyokong DAP merasa amat kecewa terhadap keputusan ini dan mengecam tindakan kita. Saya hanya boleh menjanjikan bahawa semua ahli Parlimen DAP akan pastikan bahawa mulai Isnin depan kita akan terus berjuang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment