PRK Gerik, Bugaya 16 Jan.

PUTRAJAYA 27 Nov. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, dijalankan serentak pada 16 Januari 2021.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan demikian berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 12 Januari

Kedua-dua PRK berkenaan perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya susulan kematian kedua-dua penyandang kerusi tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November manakala penyandang kerusi DUN Bugaya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah kembali rahmatullah pada 17 November.

Mengenai perjalanan kempen, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat akan dikenakan untuk kedua-dua PRK bagi mengelak timbulnya kluster baharu akibat penularan pandemik Covid-19.

Abdul Ghani berkata, semua aktiviti kempen berbentuk ceramah, ziarah rumah ke rumah, walkabout, pengedaran pamplet atau risalah kempen secara bersemuka tidak dibenarkan.

“Calon-calon digalakkan untuk berkempen guna media sosial, dan petugas parti dibenarkan untuk pasang banner bunting dalam kawasan PRK yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, calon yang bertanding hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan, manakala bilik gerakan kecil atau tempat penyokong berkumpul tidak dibenarkan sama sekali.

Related posts

Leave a Comment