1 juta dos suku pertama 2021

PUTRAJAYA 27 Nov. – Syarikat farmaseutikal, Pfizer menjanjikan penghantaran sebanyak 1 juta dos vaksin pada suku pertama tahun 2021, disusuli 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos suku tahun ketiga dan 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan vaksin Covid-19 yang dapat memenuhi keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Pihak syarikat bagaimanapun masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori dari negara pengeluar.

“Mereka juga perlu mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia,” katanya pada sidang media secara sidang maya di sini pada Jumaat.

Turut menyertai sidang media itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Tambah beliau, proses pemberian vaksin akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan.

“Terdahulu pada 22 November 2020, Malaysia melalui Menteri Kesihatan juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

“Sehubungan itu, kedua-dua perjanjian ini dijangka dapat menjamin akses vaksin Covif-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia,” ujarnya.

KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga giat meneruskan rundingan dengan syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19 yang secukupnya untuk rakyat Malaysia.

Sementara itu, KKM akan memulakan kajian klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19 menerusi inisiatif Kerajaan-dengan-Kerajaan (G2G) bersama China.

Muhyiddin berkata, vaksin tersebut dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

Menurutnya, kajian akan melibatkan 3,000 peserta dan akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin dibangunkan itu.

“Kajian yang dijangka bermula pada bulan Disember 2020 akan dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan telahpun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR),” katanya.

Related posts

Leave a Comment