Darurat PRK Gerik, Bugaya?

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Pengisytiharaan darurat di Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri Bugaya bergantung kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan keperluan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu seperti dilakukan di Parlimen Batu Sapu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin, pada 18 November lalu menjelaskan, pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Parlimen Batu Sapi, Sabah bertujuan mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan, dengan mengambil kira lima faktor utama penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman, 63, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik, meninggal dunia di Raub, Pahang, pada 16 November lalu kerana sakit jantung.

Keesokannya, negara dikejutkan pula dengan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, yang meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Sabah.

Menurut Takiyuddin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdepan kesukaran mendapatkan petugas pilihan raya, susulan insiden penularan Covid-19 pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 lalu.

Katanya, terdapat kebimbangan dalam kalangan petugas mengenai penularan wabak Covid-19 di pusat-pusat mengundi di Batu Sapi.

Dalam hal ini, situasi yang sama dijangka di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik, malah KKM memaklumkan kekangan untuk menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengundi di khemah bergejala.

“Hal ini berpunca daripada faktor keperluan penempatan pegawai dan kakitangan kesihatan yang tinggi buat masa ini di hospital serta klinik kesihatan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment