Dua minggu sifar kes tempatan

SINGAPURA 24 Nov. –  Sebanyak 18 kes import Covid-19 direkodkan hari ini, yang juga menandakan dua minggu Singapura tidak melaporkan kes tempatan.

Dengan perkembangan ini, Singapura mencatatkan 58,183 kes Covid-19 dengan 28 kematian akibat penyakit itu.

Pada masa yang sama Singapura juga bebas daripada sebarang kluster atau kelompok aktif selepas penamatan kluster asrama di Penjuru Walk.

Menurut Kementerian Kesihatan, 18 kes yang dilaporkan hari ini adalah jumlah harian tertinggi direkodkan sejak 11 November lalu.

Tiga kes hari ini tidak mengalami gejala manakala bakinya dikesan menerusi pengawasan dan pemeriksaan.

Dua daripada 18 kes import itu melibatkan lelaki rakyat Singapura beruisa 32 tahun yang pulang dari Belanda dan lelaki berusia 49 tahun yang pulang dari Indonesia.

Sementara 14 kes lain bekerja di Singapura. Salah seorang daripada mereka adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Pakistan.

Lelaki 37 tahun itu, adalah kontak satu kes yang disahkan positif, iaitu pemegang pas tanggungan yang juga tiba dari Pakistan.

Sebanyak 13 kes yang dilaporkan hari ini adalah pembantu rumah asing yang tiba dari India, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Arab Saudi.

Kes terakhir adalah seorang pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Filipina untuk menaiki kapal yang berlabuh di sini sebagai anak kapal.

Bagi kes sembuh pula, sebanyak lapan lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih di Singapura seramai 58,079.

Setakat ini 37 kes masih dirawat di hospital, sebahagian besar stabil atau beransur pulih, dengan seorang pesakit berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment